Kejutan
awal daripada Karamjit
Berita Harian, 30/3/2008
KEJUTAN bakal tercipta pada
hujung minggu ini dalam pusingan pertama Kejohanan Rali
Malaysia 2008 (MRC) yang bermula di Bahau, Negeri Sembilan
mulai hari ini.
Juara MRC 2007, Karamjit Singh dan
juruarah, Jagdev Singh, yang sebelum ini mengemudi kereta
Mitsubishi Evo 8, kini memandu kereta Proton Satria dengan
jentera yang lebih lemah, sekali gus membuka ruang kepada
pasukan lain untuk mencabar mereka bagi trofi juara.
Pasukan Perodua M5 Racing mempunyai
dua pencabar berpengalaman ? Kan Chee Hong dan Bernard Chin
dalam Perodua Myvi dan Lim Leong Onn dan Kamarul Anuar Mohd
Razzali dalam Perodua Viva.
Chee Hong adalah naib juara keseluruhan
dalam kejohanan tahun lalu dan Perodua memenangi kategori
pasukan keseluruhan.
Pasukan GSR Pennzoil Racing yang dianggotai
adik beradik, Gunaseelan dan Jayaselan Rajoo juga memburu
penamat tiga teratas. Mereka juga mempunyai pengalaman yang
diperlukan untuk menangani keadaan licin di Bahau.
Pegawai laluan kejohanan, Tengku Shaharin
Abu Bakar Tengku Suleiman, berkata laluan adalah licin kerana
hujan pada awal minggu.
"Ketika ini, laluan adalah laju
tetapi ia sedikit sukar bagi pendatang baru kerana keadaan
licin. Jika hujan lebat melanda pada hujung minggu, keadaan
akan menjadi becak dan kami perlu menarik kereta keluar
berperingkat-peringkat," katanya.
Lebih 20 kereta akan dilepaskan
oleh Exco Pelancongan Negeri Sembilan, Mohd Razi Kail di
Kompleks Feldajaya Selatan, Jempol jam 12 tengah hari ini.
< BACK
|