Perodua
Viva 4WD tumpaskan gergasi di Kuantan
Berita Harian, 30/6/2008
SELAIN mendominasi kelas
P9, Perodua Viva 4WD Turbo, taruhan pasukan Pasi yang jauh
lebih besar di pusingan ketiga Kejuaraan Rali Malaysia 2008
di Kuantan.
Pemandu, Lim Leong Onn dan
juruarah Khairul Anuar Mohd Razzali sekali lagi meletakkan
jentera kecil mereka di atas podium selepas menduduki tempat
kedua di belakang juara rali kebangsaan, Karamjit Singh
yang memandu Mitsubishi Lancer Evolution VIII.
Lebih membanggakan, mereka
berjaya mendahului gandingan pemandu veteran, R Gunaseelan
dan Mitsubishi Lancer Evolution IX yang juga kereta paling
berkuasa di Kuantan.
Menurut Lim, Viva 4WD Turbo
mereka berfungsi dengan baik pada hari pertama dan hanya
mengalami masalah kecil pada hari kedua untuk membolehkan
mereka mencatat masa yang rendah secara konsisten.
Dari seawal SS2, Lim sudahpun
berjaya menguasai tempat kedua dan terus melebarkan jarak
masa antaranya dan Gunaseelan.
Mereka terus berusaha untuk
mengekalkan kedudukan pada hari kedua tetapi menghadapi
masalah pada awal pagi akibat kerosakan pam minyak, namun
begitu Lim dapat mempertahankan kedudukan podium berkenaan.
"Saya lega kerana dapat
menamatkan hari kedua dengan mengekalkan tempat kedua,"
katanya.
Pengurus pasukan Perodua
M5, Garry Chua gembira dengan pencapaian Lim tetapi ia bukanlah
keputusan yang mereka sasarkan.
"Saya gembira Viva 4WD
Turbo berjaya menduduki podium tetapi agak kecewa kerana
masalah teknikal menggagalkan usaha kami untuk meletakkan
Myvi 4WD Turbo yang dipandu Kan Chee Hong dan Bernard Chin
di kedudukan yang lebih baik.
"Fokus kami sekarang
ialah untuk membangunkan Myvi 4WD Turbo agar ia dapat menyaingi
Viva 4WD Turbo yang jelas kompetitif," katanya.
< BACK
|