Crocker
pertahan gelaran juara
KOSMO,
13-10-2008
KEADAAN jalan
yang licin serta berlumpur jelas sekali bukan penghalang bagi
pemandu Australia, Cody Crocker menjuarai pusingan keenam
Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) 2008 di Johor Bahru semalam.
Crocker yang dibantu juruarah, Ben Atkinson
berjaya memandu jenteranya, Subaru Impreza WRX melepasi lapan
saringan perlumbaan (SS) hari terakhir semalam tanpa sebarang
kemalangan dengan catatan masa dua jam 55 minit dan 24 saat.
Setelah mendahului pada hari pertama
kelmarin, Crocker turun pada hari terakhir untuk mengurangkan
jarak mata dengan pendahulu keseluruhan sebelum ini, Katsu
Taguchi dari Jepun yang tersingkir di peringkat awal saingan.
Kegagalan Taguchi menamatkan saingan
pada hari pertama itu juga akhirnya memberi kelebihan kepada
Crocker untuk mempertahankan gelaran keseluruhan yang dimenanginya
buat kali kedua berturut-turut.
"Saya sebenarnya memberi tekanan
yang hebat kepada diri sendiri untuk menamatkan perlumbaan
tanpa sebarang kesilapan sepanjang dua hari di Johor ini,"
kata Crocker pada sidang media semalam.
"Bukan mudah untuk mengelak daripada
mengalami kemalangan dalam keadaan jalan yang licin dan berlumpur
ini, tapi kami berjaya juga melakukannya. Tiada apa lagi yang
lebih saya inginkan daripada kejayaan di sini buat pasukan
dan negara saya.
"Begitupun, kami amat bernasib
baik untuk menang kali ini. Kami menggunakan kelebihan yang
ada setelah pencabar utama, Taguchi terkeluar dari saingan
kelmarin.
"Yang pastinya, kejayaan ini bukan
mudah untuk dicipta," tambah Crocker lagi yang memandu
buat Motor Image Rally Team.
Tempat kedua pada perlumbaan semalam
menjadi milik pemandu Cusco Racing, Hiroshi Yanagisawa yang
mencatat masa 2'58:52s manakala tempat ketiga diraih pemandu
Indonesia yang juga rakan sepasukan Cody, Rifat Sungkar (3'05:53s).
Dalam Kejuaraan Rali Malaysia (MRC)
2008, juara APRC sebanyak tiga kali, Karamjit Singh menepati
ramalan apabila muncul juara pada pusingan kelima ini dengan
catatan masa 2'24:38s.
Pemandu GSR Penzoil itu yang memandu
Mitsubishi Lancer Evo 8 ternyata sukar ditandingi pemandu
tempatan lain apabila mempertahankan kejuaraan MRC buat kali
kedua berturut-turut.
Karamjit jauh meninggalkan pencabarnya,
Arjun Rao dari India yang mencatat 2'56:17s serta pemenang
tempat ketiga, R. Gunaseelan yang mencatat masa 2'59:56s.
"Sebelum kemenangan ini, kami masih
ada satu pusingan lagi November depan, jadi kami mungkin akan
berlumba tanpa tekanan nanti," kata Karamjit.
"Selepas memenangi gelaran keseluruhan
pada hari pertama, saya hanya menggunakan 70 hingga 80 peratus
keupayaan sebenar saya kerana tidak mahu jentera mengalami
kemalangan di jalan yang licin akibat hujan ini.
"Begitupun, saya tetap gembira
kerana mempertahankan kejuaraan ini sekali lagi dan selepas
ini saya berharap ada pihak penaja yang mampu membantu saya
untuk bersaing dalam kejuaraan APRC musim depan."
|