Karamjit
kembali (Bahasa
Malaysia)
19th
March 2007, Harian Metro
PENAMPILAN semula jaguh rali
kelas dunia, Karamjit Singh, yang sebelum ini bergelut dengan
masalah tajaan, berjaya membuahkan hasil lumayan selepas menjuarai
pusingan pertama Kejohanan Rali Felda AAM Malaysia 2007, Bahau,
Negeri Sembilan, yang berakhir, semalam.
Meskipun menggunakan jentera
lamanya, Mitsubishi Evolution 3, wakil pasukan Karamjit Motorsport
kelas 2000 cc ke atas itu berjaya mempamerkan pemanduan mantap
apabila mendahului perlumbaan sejak hari pertama kejohanan
terutamanya selepas pencabar terdekatnya, Saladin Mazlan (Subaru
Impreza GDB), terkeluar daripada perlumbaan akibat masalah
kotak gear pada pusingan kelima (ss lima).
Ternyata pengalaman selama
20 tahun dalam sukan terbabit berjaya memberi kelebihan kepada
pemandu berusia 45 tahun itu untuk mengunguli kejohanan pusingan
pertama yang memiliki jarak sejauh 178.43 km itu dengan catatan
masa keseluruhan 2 jam 27 minit.
Karamjit berkata, meskipun
tidak mendapat tentangan sengit daripada pelumba lain, dia
menganggap perlumbaan kali ini agak mencabar terutamanya dengan
keadaan beberapa litar perlumbaan yang memiliki selekoh berbahaya.
Ketiadaan Saladin memberi
ruang kepada saya beraksi tanpa tekanan, tapi saya akui perlumbaan
kali ini agak mencabar terutamanya dengan keadaan litar yang
memiliki beberapa selekoh berbahaya, katanya.
Karamjit yang berpasangan dengan
juruarah berpengalaman, Jamdev Singh, berkata dia terpaksa
bergantung kepada pengalaman dan kemahiran dimiliki selepas
hanya mampu beraksi bersama jentera lamanya yang berusia hampir
13 tahun akibat masalah ketiadaan penaja.
Memang sejak awal perlumbaan
faktor kereta agak membimbangkan saya, tapi apa boleh buat,
saya perlu berani risiko meneruskan perlumbaan. Saya mengucapkan
ribuan terima kasih kepada penaja pasukan, Knight Capital,
yang sudi menaja saya meskipun hanya muncul pada saat-saat
akhir, katanya.
Masalah tajaan sekali lagi
bakal memberi kebimbangan kepada pemandu veteran itu apabila
dia tidak pasti sama ada berpeluang menyertai perlumbaan peringkat
kedua yang dijadualkan bermula 26 Mei depan di Terengganu.
Sementara itu, pelumba Jepun,
Takeshi Azuma, berjaya menduduki tempat kedua, dengan catatan
2 jam 39 minit 02 saat, ketinggalan 12 minit 02 saat di belakang
Karamjit meskipun hanya mampu beraksi dengan kereta simpanan
pasukan Subaru Impreza GDB akibat masalah kekurangan dana.
Tempat ketiga milik pemandu
kelahiran Felda yang juga pendatang baru sukan rali, Rozali
Abdullah, yang memandu Proton Satria dengan catatan 2 jam
42 minit 39 saat.
Perlumbaan pusingan kedua pada
26 Mei depan di Terengganu.
<
Back
|