Cabaran
Zero 2 Hero
23 February 2009, Harian Metro
Justeru, bersandarkan
kepada reputasi itu, pihak penerbitan Astro tampil dengan program
realiti terbaru, Zero 2 Hero yang mengupas cabaran yang dilalui
peserta dalam sukan permotoran rali.
Sebanyak 15 peserta
berusia 18 hingga 30 tahun beradu tenaga serta menguji kemampuan
masing-masing dalam aspek pengendalian dan ujian dalam dunia rali.
Program disiarkan sebanyak lima episod setiap Selasa di saluran
104, jam 10 malam bermula 10 Mac ini.
Pengurus Saluran
Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata program yang julung kali
diterbitkan pihak televisyen itu menampilkan keunikan tersendiri,
apatah lagi ia membabitkan persaingan peserta yang tidak mempunyai
asas dalam pemanduan kereta rali kecuali kemahiran asas memandu.
"Kami percaya
sukan rali semakin mendapat perhatian terutama di kalangan generasi
muda. Justeru, kami juga tidak mahu ketinggalan menyuntik semangat
kesukanan kepada peminat lumba kereta rali khususnya peminat setia
saluran kami.
"Dengan adanya
bantuan dan kerjasama dengan pihak pengurusan permotoran seperti
Wheel Sport Management (WSM), Automobile Association of Malaysia
(AAM) dan barisan penaja, kami yakin usaha ini akan mendapat sambutan
menggalakkan.
"Lebih menarik
apabila penonton dapat melihat sendiri perkembangan peserta yang
pada asalnya hadir tanpa kemahiran asas kecuali memandu kereta sehingga
bersedia untuk menyertai kejohanan rali. Pelbagai aksi menarik dapat
disaksikan menerusi program ini," katanya pada majlis pelancaran
program berkenaan yang berlangsung di Tanamera, Sungai Buloh, baru-baru
ini.
Hadir sama, Pengarah
Urusan WSM, Raja Nor Mazli Raja Tun Mohar serta Pengarah dan Pengasas
WSM, Tengku Shaharin Abu Bakar Almarhum Tengku Suleiman.
Tambah Khairul, peserta
program berkenaan dikumpulkan sejak Mei sehingga Disember tahun
lalu. Selepas menjalani latihan, peserta dibawa mengikuti dua kali
ujian dan cabaran setiap bulan.
"Peserta didedahkan
dengan cabaran pemanduan, ujian baik pulih kenderaan serta aspek
pengendalian. Setiap ujian membolehkan peserta memungut markah.
Peserta yang memungut markah tertinggi akan diumumkan pada episod
akhir rancangan.
"Ini juga sebahagian
daripada cara untuk mempermudahkan peserta menyertai sukan rali.
Melalui penyiaran program ini, kami berharap dapat membantu dan
meningkatkan sukan rali tanah air, seterusnya sebaris dengan sukan
permotoran lain seperti lumba kereta F1," katanya.
Peserta bukan saja
diberi pendedahan dalam dunia rali, malah berkesempatan mengikuti
cabaran di samping menyaksikan perlumbaan rali Malaysia (MRC) yang
berlangsung di lima lokasi berasingan seperti Negeri Sembilan, Perlis,
Pahang, Johor dan Selangor.
Sebagai habuan, pemenang
bakal membawa pulang kereta rali Proton selain berpeluang mengambil
bahagian dalam Perlumbaan Rali MRC yang dijadualkan April ini.
Pemenang turut menerima
tajaan tayar Silverstone dan geran daripada AAM berjumlah RM150,000
seorang.
|